CERPEN : LELAKI ITU

May 27, 2013



بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ
“Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang”

السلام عليكم
"Selamat sejahtera ke atas kamu semua"

Kriukk Kriukk. Rumah papan itu berbunyi. Menandakan usianya sudah uzur. Lalang dan semak samun sudah semakin meninggi. Menjadi langsir semula jadi. Redup berteduhkan pokok tua yang hampir tumbang. Batuk kedengaran. Seorang pemuda keluar sedari subuh. Bukan satu atau dua pekerjaan yang dilakukannya. Selagi terdaya tubuh kurus itu, selagi keringat masih boleh dibanting untuk mencari sesuap nasi, dia tidak akan berhenti. Impiannya besar. Kepayahan hidup sedari dibangku sekolah lagi bukan halangan yang kecil. Tiada siapa peduli.

Mengharapkan yang lain memahami jauh sekali. Malah fitnahan dan caci maki semakin hari semakin banyak ditabur. Berdepan kepayahan hidup dengan penyakit yang dihadapi, dia masih mengharap masih ada yang sudi memahami. Namun sekali lagi, hanya kedengaran angin bertiup sunyi. Malam memandu lori. Penat lelah tetap ditempuhnya. Cekalnya semangat lelaki itu. Tengah harinya, berjalan mengutip tin tin kosong. Petangnya pergi ke rumah orang memasang apa yang boleh. Selagi ada waktu dia ingin berbakti.

Batuk itu bukan dibuat-buat. Tidak. Dia tidak mengharapkan simpati. Penyakit TIBI yang dihidapi semakin hari semakin teruk. Tidak. Bukan dia mengharap sesiapa menghulur bantuan. Memberi wang membeli ubatan. Tidak. Bukan dia meminta tumpang di rumah yang mewah. Cukup rumah yang selesa agar tidak perlu dia berada di persekitaran yang akan memudaratkan penyakitnya. Tidak. Bukan dia datang untuk meminta wang. Cuma datang meminta sedikit makan kerana tidak larat bangun pergi ke kerja. Tubuhnya semakin dimamah virus TIBI. Tidak. Dia tidak menangih najis itu. Tidak. Tapi fitnah terus dilempar. Saat dia hadir di majlis keluarganya. Tidak. Hanya datang untuk melihat-lihat sahaja tapi dihalau bagai anjing kurap. 

Harapannya besar. Impiannya setinggi langit. Terus berusaha. Tidak. Dia tidak pernah mengalah. Bukan tidak mahu ke sekolah semasa muda. Tidak. Dia hanya memikir orang tua yang susah membanting tulang menyekolahkan adik-adik. Tidak. Bukan tidak mahu menuntut ilmu. Dia cuma berkorban menyekolahkan adik-adiknya. Tiada siapa tahu. Tiada siapa mahu mendengar. Bila melihat kawan-kawannya memandu kereta mewah dia juga ingin memandu sebuah kereta. Ingin menjaga ibu dan ayahnya. Menghantar mereka ke mana saja. Tidak. Bukan dia inginkan sekelip mata. Usahanya besar. Sebesar impian murni itu.

Lelaki itu. Saat ajalnya sudah hampir tiba. Masih tiada siapa yang peduli. Sakitnya dari kecil. Tidak. Dia bukan seorang penagih. Saat itu dia masih mampu tersenyum. Di sudut bilik di hospital itu. Petang itu jadi saksi. Kata-kata terakhirnya masih terngiang. "Belajar betul-betul. Banggakan Mak. Banggakan Abah. Jangan jadi macam Pak Lang. Jangan susahkan orang". Tidak. Seumur hidupnya tidak pernah aku lihat dia sebesar zahrah pun menyusahkan yang lain. Tidak. Tidak. Tidak walau sekali.

Lelaki itu. Terlalu dahagakan kasih sayang kedua ibu bapanya. Terlalu sayangkan kedua ibu bapanya. Pernah dia berkata, "Kalaulah atuk kau boleh terima Pak Lang....." Tidak. Bukan dia mahukan perhatian. Cukup disayangi seperti orang lain. Lelaki itu. Walaupun hidupnya tidak pernah bahagia. Dia tetap cuba membahagiakan orang lain. Setiap kali tiba hari raya. Dia akan datang. Tapi tidak lama. Takut kegembiraan orang lain tercela kerana kehadirannya. Kini, bila tiba hari lebaran. Dia sudah tiada. Tidak. Bukan tidak rindu akan ibu ayahnya. Cuma Allah lebih menyayanginya.

Petang itu, aku lihat wajahnya tersenyum. Tidurnya nyenyak. Tidak seperti sebelum ini. Gembiranya dia dapat tidur di katil di rumah sendiri. Batuknya berkurang. Petang itu aku lihat matanya terbuka memandang aku lama. Nafasnya teratur. Bibirnya mengulum senyuman. Ayah yang dikasihi kini duduk bersebelahan. Senyumannya makin lebar. Syahdunya masih segar dalam ingatan. Lelaki itu akhirnya pergi. Dalam senyuman. Nur diwajahnya masih tergambar. Suaranya mengucap dua kalimah syahadah masih terngiang-ngiang. Lelaki itu. Dia istimewa.

Lelaki itu. Dia bukan seorang yang berpelajaran tinggi. Tidak mempunyai rumah yang mewah. Harta yang banyak, mahupun wang yang banyak. Tapi siapa tahu sebelum pergi dia ada menyimpankan wang untuk ibu ayahnya. Perginya dalam tenang. Perginya tidak menyusahkan sesiapa. Lelaki itu. Dia istimewa. Lelaki itu. Dia cekal. Lelaki itu dialah yang menjadi inspirasi aku. 5 Ogos 2011. Hari itulah Allah menjemputnya. Untuk kembali kepada penciptanya semula. Diiringi kalimah syahadah dan laungan azan Zohor pada hari mulia, Jumaat di bulan Ramadhan. Masih ku ingat. Tenang sekali. Ya Allah, hanya doa yang mampu aku beri. 

Hari ini, ada yang menyingkap sejarah hidupnya. Ada yang bercerita tentang kecekalannya. Dia tidak pernah menagih. Dia tidak pernah menyentuh barang sehasta pun najis dadah itu. Lelaki itu. Mungkin sudah sampai ke Jannah Allah. Alhamdulillah.


Kredit : Nurdiyana Nabilah Binti Rosli
Edit : Nurulsyazwani Binti Rosli


Ramadhan bakal datang lagi. Kau sudah tenang disana. Aku? Kami semua yang masih hidup, masih berusaha untuk pergi ke jalanNya.  Semoga rohmu dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman. Amin.. 




You Might Also Like

3 000, 000 Pengkomen

DISCLAIMER: Comments are welcomed. However, noted that, tasteless and insulting comments may be deleted. Any personal remarks and attacks may be deleted. The same holds true for off-topic comment. Any comments that reek of link spam or marketing messages will be deleted.

I am not responsible for the content in comments other than those made by me, or in blogs, or other online content that I may link to.</p>